Revolusi Rundum Antanom

Di bawah pentadbiran Syarikat Borneo Utara British (British Chartered North Borneo Company, BCNBC), selain mengenakan pelbagai cukai yang tidak pernah didengari oleh penduduk tempatan, pihak British turut memaksa setiap pasangan Murut yang memiliki dua orang anak untuk menyerahkan seorang daripada mereka sebagai buruh syarikat.

Hilang sabar, Ontoros Antonom mengumpulkan hampir seribu orang pahlawan Murut dari Tenom, Keningau dan Pensiangan untuk menentang empayar British pada tahun 1915. Pegawai British dikejutkan dengan beratus-ratus pahlawan Murut membanjiri bangunan pentadbiran mereka dan menyerang mereka. Ontoros Antonom membina beberapa kubu dengan terowong bawah tanah dan rumah.

Pada April 1915, pihak British menghantar 400 orang tentera yang dilengkapi dengan senjata api bagi menyerang balas. Sungguhpun pihak Murut hanya memiliki senjata asas seperti sumpitan, pedang dan lembing, tentera British gagal menundukkan mereka. Dengan itu, pihak British memasang perangkap dengan menawarkan perundingan damai di Rundum. Apabila Ontoros Antonom dan pengikutnya dalam perjalanan ke tapak tersebut, mereka dikepong dan ditahan oleh beratus-ratus orang tentera British. Selepas itu, Ontoros Antonom telah dihukum mati oleh pihak British.[2]